header image
 

Sekolah Pertama

Salah satu tabiat atau kebiasaan ayah setelah mandi atau mengambil wuduk adalah ayah akak bernyanyi lagu, qasidah atau nyanyian yang saya tidak faham maksudnya, lalu ayah akak pergi kepada alang, saya dan adik lalu menyapu baki air sembahyang di tangannya. Jika tidak cukup, ayah akak sedikit mengesat mukanya dan air itu disapu ke muka kami. Setelah itu, ayah akan masuk ke biliknya lalu keluar kembali sambil memakai kain pelekatnya di hadapan kami sambil berbicara dengan kami, samada ayah menyuruh kami mengambil wuduk untuk sembahyang bersama, atau becerita tentang kejadian hari itu, atau kadangkala bertanya tentang aktiviti kami di sekolah. Saya sebenarnya tidak begitu pasti samada sewaktu itu saya menekuni percakapan ayah, mahupun saya lebih tekun menonton cerita kartun di television

Kebiasaannya jika ayah ke surau, ayah akan membawa adik dan alang sekali, dan sebelum keluar dia akan mematikan suis TV dan mengarah saya bersembahyang segera, dan jika emak tiada keuzuran, saya di arah bersolat dengannya. Saya yang sewaktu itu masih kurang memahami ‘kenapa dan mengapa’ amat suka menarik muka apatah lagi jika saat itu rancangan yang tersiar adalah yang saya gemari.

Dan sewaktu kecil, seingat saya, saya mula belajar mengikat kain batik mengikut cara ayah melipat kain pelekatnya. Dan itulah ilmu yang saya percaya emak mula-mula mengajar saya cara melipat kain. Sehinggalah saya meningkat remaja, saya melihat perbezaan cara melipat kain di kalangan sahabat saya dengan cara saya. Dan saat itulah baru saya faham bahawa ada perbezaan di antara tatacara pakaian lelaki dan wanita. Sementelah di cerita emak, barulah saya tahu bahawa saya di ajar mengikat cara ayah/ lelaki kerana saya tidak dapat menangkap cara mengikat kain bagi wanita yang emak beberapa kali cuba ajarkan. Dan kini sementelah saya dewasa, saya mengesan satu lagi kebiasaan ayah yang saya ikuti iaitu saya suka menyapu baki air wuduk ke muka anak-anak buah saya.

Sekarang, saya benar-benar yakin bahawa, pembelajaran awal anak-anak amat dipengaruhi oleh tingkahlaku ibu bapa, dan rumahtangga merupakan sekolah pertama kanak-kanak yang akan membina asas sepanjang kehidupan. Namun berkemungkinan di dalam proses pengajaran pertama, ada anak-anak yang lemah dalam memahami dan mempelajari sesuatu, dan disinilah ibu bapa harus kreatif dalam mencari alternative pembelajaran mengikut keupayaan anak-anak, dan meletakkan kepercayaan bahawa suatu hari nanti pasti anak-anak ini mampu melakukan sesuatu perkara itu dengan kaedah yang lebih tepat secara berperingkat.

Seterusnya  saat dewasa, anak-anak mula terdedah kepada persekitaran yang memungkinkan tindakan tambahan, yang samada memberi impak yang baik, mahupun mempengaruhi perubahan negatif kepada remaja. Dan di saat inilah, ibu bapa menjadi tempat rujukan, dan bertindak sebagai penterjemah kepada kebaikan dan keburukan sesuatu perkara supaya remaja yang sifatnya suka mencuba sesuatu yang baru, dan suka mencabarkeegoan diri ini, mampu menimbang secara rasional akan keadaan sekitar sebelum menjebakkan diri ke dalamnya.

Saat dewasa ini merupakan suatu waktu di mana hasil pelajaran asas dan rasional para ibu bapa dapat di lihat, dan inilah waktu di mana ibu bapa sudah lagi tidak dipertanggungjawabkan ke atas tindakan yang bakal di ambil oleh anak mereka. Pemikiran saat ini sudah di bentuk melalui didikan awal dan pengajaran sepanjang kehidupan remaja yang secara logiknya dibentuk oleh ibu bapa. Jika didikan adalah positif, maka pasti hasilnya juga positif, dan begitulah sebaliknya. Namun, ada kemungkinan disebabkan oleh kelemahan dalam penekanan kefahaman diperingkat remaja, ada para anak yang dewasa berubah sesuai dengan apa yang mereka pahami.

Dewasa kini, kebejatan permasalahan nilai sosial nyata mengundang pelbagai andaian, penilaian dan tidak kurang juga perdebatan tentang siapa harus dipertanggungjawabkan. Di dalam Islam, menerangkan bahawa jati diri, nilai sosial dan akhlak yang cantik di bentuk oleh tiga tangga utama iaitu, keluarga, masyarakat dan pemerintahan. Islam memahami bahawa pemerintahan merupakan ‘keluarga besar ummah’, manakala masyarakat merupakan ‘keluarga kepada sebuah komuniti setempat’ dan keluarga merupakan institusi sosial terkecil yang menjana dua institusi di atas. Jadi analogi di atas berkemungkinan jatuh kepada tiga tunjang ini apabila kita mahu membuat pengkajian di atas sesuatu permasalahan terutama dalam menyelidik di mana salahnya sehingga membuatkan kerangka ummah kini bagai di tebak dan menunggu masa runtuhnya.

Wallahu’alam.

Kembara Ilmu

Assalamu’alaikum, salam penuh kemuliaan, dan salam penuh rasa cinta, rindu dan kasih sayang buat semua rakan-rakan seperjuangan yang berkesudian menjejak kaki ke teratak saya yang faqir lagi haqer ini.

Alhamdulillah kita masih bernafas di bulan februari bersamaan dengan bulan safar, bulan Islam yang menjadi pegangan kita ke hari ini, syukur Alhamdulillah.

Di dalam hampir 3 sehingga 4 bulan ini jujurnya saya belum berjaya menghadam mana-mana buku dari kulit ke kulit seperti kebiasaannya. Dan saya juga sedikit sekali meluangkan masa membaca mana-mana blog sekerap kebiasaannya beberapa ketika dahulu. Dan itulah antara sebab kenapa saya semakin ketandusan idea dalam penyampaian di ruang yang serba faqir ini. Namun, Alhamdulillah, Al Khaliq itu tidak putus-putus menitis kan hikmah dan nikmat dalam pelbagai bentuk ke atas setiap hamba-Nya. ALLAHu ALLAH.

Bulan November tahun lalu Alhamdulillah saya sekali lagi diberi kesempatan ke negara seberang, negara saudara seagama dan sebangsa kita. Ada dua perkara utama yang menarik minat saya untuk bercerita tentang jaulah kami kali ini, selain lawatan santai ke taman-taman wisata sekitarnya.

Pertama sekali adalah tentang ilmu yang saya timba sepanjang berada di sana tentang budaya, dan agama. Ini merangkumi pencerahan tentang cara hidup dan senibina yang menjadi subjek utama yang selalu saya perhatikan setiap kali berpeluang berjalan. Perjalanan ini benar-benar meluaskan pandangan saya dan mengingatkan saya betapa kita sebenarnya perlu lebih sensitif terhadap persekitaran kehidupan kita.

Perkara kedua yang paling menarik minat saya adalah tentu sekali kedai buku. Alhamdulillah, saya di bawa sekali lagi melawat toko buku Gramedia yang kali ini besarnya 4 kali ganda toko buku Gramedia di Medan. SubhanALLAH. Alhamdulillah emak ayah dan adik beradik yang lain juga bersama saya berkampung di toko buku tersebut hampir 2 jam. Pada awalnya saya tidak bercadang membeli banyak buku memandangkan kekangan saat ini yang saya yakin saya pasti tidak punya masa untuk membaca, namun setelah melangkah ke bahagian buku agama, saya kaget melihat timbunan buku rohaniah yang benar-benar menjerat pancaindera.

Alhamdulillah dalam banyak-banyak buku yang saya ambil, hasil perbincangan (meminta pendapat setelah  buntu memilih) dengan ayah dan adik lelaki, akhirnya ada tiga buku yang saya beli buat diri saya.

Tetapi buku-buku ini masih belum saya baca sepenuhnya, hanya sekadar membelek-belek, melihat tajuk, carta dan sebagainya. Buku ini sangat interaktif, percayalah! Nah, ini saya sertakan salah satu contohnya.

Apapun buku itu isinya ilmu. Ilmu itu cahaya kehidupan. Apa sahaja ilmu yang mahu kita cari dan kita gali, kenal pasti objektifnya, aturkan metodologi untuk mencapainya, lalu gerakkan usaha menuju sasarannya. Semoga ia barakah dari dunia menuju jannah.

Wallahu’alam.

.

p/s [nahwanNur]: Supervisor saya sudah mengeluarkan tarikh akhir untuk saya menghantar ‘second draft’ thesis saya yang menentukan samada saya boleh meneruskan proses viva (pembentangan) atau tidak, iaitu pada 7th Mac ini. Mohon sahabat-sahabat sama-sama berdoa buat saya, serta beberapa sahabat lain sefakulti dan semua yang sedang berjuang di medan ilmu ini. Semoga urusan kami dipermudahkan oleh ALLAH swt dengan kebaikan yang penuh barakah. Amiin ya Rabbal ‘alamin.

Ia hanya ditelapak tanganmu!

Semenjak 2010 bergantian melayari umur dunia, saya belum lagi berkesempatan mencoretkan sebarang entri, yang terkadang saya berhajat untuk berkongsi rasa dengan pembaca.

Memasuki tahun baru pasti ramai yang memasang azam. Kepada mereka, saya ucapkan selamat berusaha dan semoga semuanya terbaik seperti dirancang. Anda seorang yang terancang dengan misi, jangan biarkan sumbang suara merencat kekuatan azam ada, biarkan ia sampai ke gegendang telinga, memukul biduk semangat anda. Bagi yang tidak, saya tetap doakan semoga kebaikan itu dimiliki dengan diredhai oleh Pencipta kita semua, ALLAH az zawajalla. Anda bukan seorang yang tidak terancang walau tiada azam, tetapi pasti anda merentasi kehidupan dengan perancangan anda yang tersemat dihati.

Memasuki angka 2010, merupakan ‘crucial time’ buat saya memandangkan usia pengajian yang menjengah ke umur maksimanya. Jika tidak berjaya menongkah masa dan ujian, maka saya akan pulang tidak berstatus seperti yang di inginkan, melainkan hanya helaian kertas kajian yang tidak diluluskan. Nauzubillahi minzalik.

Saya seperti biasa tidak tahu memasang azam dengan ‘complete checklist’ yang digantungkan di mana-mana bahagian bilik saya. Namun, saya tetap ada perkara yang saya sematkan untuk di selesaikan di dalam jangka yang di tetapkan.

‘Adik belajar betul-betul, semester ini pastikan kembali ke anugerah dekan! Amiin…’

Pesan emak sambil mendoakan. Saat itu saya dan adik sudah mahu pulang untuk mendaftar semester terbaru.

‘Emak doakan nahwan juga! Moga belajar semakin rajin.’

Pinta saya ibu mendoakan sama. Emak tersenyum.

‘Emak doakan semua anak emak, berjaya dunia akhirat.’

Jawab emak. Senyum yang terukir begitu membahagiakan.

‘Tak, kali ni emak kena doakan spesifik untuk anjang. Moga habis tulis thesisnya tu mak! Serabut dah adik tengok!’

Usik adik di sebelah selepas itu ketawa besar. Suka dia mengusik saya, tetapi doanya itu tulus saya amiin kan. Benar, itu antara sasaran saya untuk awal usia 2010.

Melihat rakan sekuliah yang sudahpun melakukan pembentangannya (yang kami gelarkan; viva) tahun lepas, masih juga belum selesai urusan pembukuan thesisnya membuatkan saya semakin gusar. Dan melihat rakan lain yang baru selesai pembentangannya tetapi mendengar ceritanya tentang lontaran komentar yang berbondong dari pemeriksa membuatkan saya semakin kecut perut. Kalau mampu diperiksa, mungkin sahaja sudah kebiruan segala isi perut kerana sejuk ketakutan.

Seorang adik bertanya lewat ym;

‘Kak, lebih banyak kita tahu (ilmu), lebih hebat kan?’

‘Adik, setiap kali kita mengetahui sesuatu yang mencambahkan ilmu, maka setiap kali itu pasti kita merasa amat lemah kerana masih banyak ilmuNya yang belum mampu dimiliki. Ia ibarat kita menghirup air laut; semakin menghirup semakin kita tertunduk sendu merendah diri memohon rahmat-Nya buat menghilang dahaga walau hanya setitis embun kasih-Nya’

‘Kak, una lepas spm tidak buat apa-apa pun. Belajar tidak, bekerja pun tidak. Sekarang una sudah 21. Kak bagaimana mahu ikhlaskan hati terima takdir ALLAH untuk kita?’

Soalnya lagi.

‘Maksud adik?’

Soal saya minta dipastikan apa sebenarnya yang bermain di benaknya.

‘Kak, kadang-kadang adik rasa tak berguna. Belajar tidak, bekerja pun tidak. Kalau kakak, antara bekerja dan belajar, yang mana akak pilih sekarang?’

Luahnya di akhiri lagi dengan sebuah soalan.

Kita tinggalkan tentang perbualan kami. Apa yang sebenarnya timbul di sini adalah keluh kesah, perihal kita membuat pilihan di dunia, takdir ALLAH, dan bagaimana kita mahu ikhlaskan hati kepada qada dan qadar-Nya. Bukan sahaja persoalan seputar menuntut ilmu, malah dari sekecil-kecil hal, seperti membuat keputusan membeli barang, sehinggalah sebesar-besar hal seperti perkahwinan dan pekerjaan, kesemuanya memerlukan keputusan, dan natijahnya telah Dia tentukan. Namun ketentuan-Nya itu juga berpaksi kepada usaha yang kita lakukan, bukannya datang bergolek.

Apa yang perlu difahami, bahawa dunia bukan apa yang kita ingini, tetapi satu jalan dalam kita menuju redha Tuhan.

“ … Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal  ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Al-Baqarah; 216

Telah DIA katakan bahawa, jika DIA berkehendaki, pasti terjadi. Namun, manusia di tuntut berusaha itu adalah sebagai pengabdian kepada-Nya yang maha pemurah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada kita.

Di atas ke semua itu, apa yang sebenarnya di lihat adalah bagaimana seorang hamba itu optimis dengan ALLAH swt. Keimanan kita tidak terbina hanya dengan pergerakan badan di dalam solat. Malah jika solat itu tidak dihayati, maka Rasulullah saw telah sendiri mengingatkan bahawa ia tidak lebih dari latihan pergerakan tanpa makna disisi-Nya.

‘Kak, kakak rasa cita-cita akak tercapai dengan mengambil bidang ni?’

Soal adik tadi. Saya di dunia di sebelah sini di hadapan laptop hanya tersenyum, bahagia sekali entah kenapa.

Di dalam dunia pengajian ini, jiwa saya hanya 20% meminati bidang ini, namun makna terbesar adalah bagaimana DIA membimbing saya memahami makna dunia, dan makna bahagia redha di dalam jalan ketentuan-Nya. Di dalam dunia ini saya menelan manis, menabur garam di tempat luka, berteriak kepada luluhnya rasa, kesemua itu saya lalui dalam mempelajari bahawa dunia itu haknya hanya di telapak tangan kita. Ya, di telapak tangan kita.Lalu itu sebab terkukuh kenapa saya bahagia untuk terus melayari pengajian ini.

‘Seorang arkitek/lanskap arkitek islam terpisah dengan seorang yang bukan islam di dalam pengajian ini adalah melalui keimanan kepada-Nya. Walau tiada keuntungan (dalam erti kata pulangan bayaran lumayan), namun, berbakti kepada manusia selepas Sang Pencipta itu tanggungjawab kita.’

Terngiang-ngiang kata-kata pensyarah saya.

Di antara asbab kecemerlangan umat Islam terdahulu adalah kerana keimanan yang mantap terhadap Islam. Teladan dan qudwah terlalu banyak di lembar sirah. Terkadang dalam melangkah mungkin kita rebah, sesekali perlu kita singkap tabir ibrah perjuangan terdahulu untuk menghirup manisnya erti tabah. Kekuatan muslim bukan terletak di atas kelemahan musuh, tetapi terletak di dalam keindahan iman dan keizzahan Islam itu sendiri.

Lalu bagaimana kita mahu mengungguli medan pertempuran kita? Walau mungkin tiada alatan pedang dan peralatan perang yang lain, namun hawa nafsu dan bisikan syaitan itu jauh lebih licik dari musuh luaran kita, dan itulah pertempuran kita.

Jika semasa menongkah deras arus, kita harus melawan hawa nafsu yang meluluhkan semangat juang, dan syaitan yang mungkin sahaja cuba membisikkan was-was dalam usahanya mencabar keyakinan kita. Dan jika setelah arus di lepasi, samada sampai di pulau yang di inginkan, ataupun bukan pilihan, bagaimana nafsu dan bisikan syaitan itu bermain di dalam diri dan fikiran kita?

Jika kita berjaya mendapati sesuatu yang kita inginkan, maka syukur Alhamdulillah kita melepasi segala musuh di dalam peperangan dan kita pasti berpuas hati.

Jika kita berjaya menongkah badai namun keputusannya bukan seperti yang kita inginkan, bermakna kita Berjaya menentang musuh di dalam peperangan, namun bagaimana pula kita mahu berhadapan dengan emosi dan perasaan kecewa dengan natijah yang tidak di inginkan?

Gelombang emosi itu badai perasaan yang fitrah, ia antara bukti ketidaksempurnaan makhluk yang hanya meminjam hanya sedikit dari anugerah dan nikmat-Nya, ALLAH yang terhindar dari ketidaksempurnaan, yang maha memiliki dan DIA lah yang maha sempurna. Lalu apa yang penting adalah bagaimana kita mengarahkan setiap emosi dan rasa itu dalam mendekati cinta-Nya dan destinasi terakhir kehidupan kita, darul akhirat.

Keikhlasan dalam menerima qada’ dan qadar ALLAH itu pasti timbul apabila kita mempunyai ilmu dalam memahami erti kehidupan kita. Ilmu tentang tatacara mengemudi bahtera ini, dan bagaimana cara membaca peta kehidupan supaya bahtera kelak dapat berlabuh di negeri abadi dengan baik. Ilmu yang baik dalam memahami sedari awal tentang cuaca dan keadaan alam yang bakal di tempuhi membuatkan kita sentiasa bersiap sedia.

Seharusnya apa sahaja yang kita lakukan, yang kita pilih untuk lakukan, perlulah bersebab, dan sebabnya itu tentu sekali dalam mencari redha ALLAH. Hatta dalam hal membuang air itu sendiri itu, ada sebabnya dan ada tertibnya. Bahkan, ALLAH Yang menciptakan sesuatu itu tidak sia-sia, mengikut tempatnya dan sebabnya (fungsinya).

Al Imam Al-Ghazali rahimahullah berkata;

‘Barangsiapa yang mengaku empat perkara tanpa disertai empat perkara yang lain, maka dia adalah pendusta. Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, dia adalah pendusta. Barangsiapa mengaku cintakan Nabi Muhammad saw tetapi tidak cinta kepada ulama dan fakir miskin, dia adalah seorang pendusta. Barangsiapa mengaku takutkan neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, dia adalah pendusta. Dan barangsiapa mengaku cinta ALLAH tetapi keluh kesah dengan ujian-Nya, maka dia adalah pendusta.’

Menjadi pendusta pasti bukan kehendak kita semua. Justeru harus kita berusaha untuk menjadi pengabdi cinta-Nya. Bukan kita perlu menjadi hipokrit dengan tidak menjadi siapa diri kita yang sebenarnya, tetapi kita juga tidak seharusnya menjadi pendusta sementalah kita berjanjikan ketaatan kepada-Nya. Jadilah apa yang DIA mahukan kita menjadi, sebaik-baik makhluk ciptaan-Nya. Bukan menjadi diri sendiri yang menginginkan mengikut apa yang kita sukai, tetapi jauh dari syariat-Nya. Dengan itu, pasti kelak, apa sahaja yang DIA aturkan buat diri kita, pasti sahaja kita bahagia menerimanya. Sebagaimana kita merasa bahagia berdiri di atas syariat-Nya, bahagia didalam pandangan mata manusia yang jijik melihat kita kerana kita sentiasa menjunjung arahan-Nya. Kerana DIA lah pemilik diri kita. Lalu, dunia ini bukan sesuatu yang bias meruntun hatimu menjadi orang yang kesedihan meratap nasibnya, tetapi dunia itu meruntun hatimu gembira dan bersyukur kerana menjadi pengejar cinta-Nya.

Biar bertatih, tidak berhenti
Biar letih, tetap tidakkan lari
Biar lewat, namun jangan akhirnya terlambat
Dan biar sedikit, tapi istiqamah berpanjangan
Bergeraklah terus, kerana DIA sentiasa mengiringi.

Dunia tidak menjadi sesuatu perkara yang melesukan, tetapi kekuatan menuju yang abadi. Kerana, dunia itu hanya di telapak tanganmu. Dan akhirat itu di hatimu!

.

p/s [nahwanNur]: La taqlaqi wala tahzani, innaALLAHa ma’aki, wakafa billahi wakiila :)

Bagi kesempatan
manusia melakar impian
namun, masa tidak selalu mengungkap harapan
fitrah kehidupan
memang tiada yang berkekalan
juga tidak semua bisa jadi kenyataan
yang datang pasti pergi
yang tiba pasti kembali
citra yang tidak perlu ditangisi
tetapi acara yang patut direnungi

Kehidupan yang hanya sekali
tetapi di dalam masa yang tidak kembali
tetap ada waktu taubat mu berkali-kali
Namun bila kesempatan tidak bertemu
Pasti saat itu diri hanya mampu meratap bisu

1431 : 2010 : 25