header image
 

Belajar Menyatakan Cinta

 Cinta

Jika ia sebuah cinta
ia tidak mendengar, namun sentiasa bergetar
Jika ia sebuah cinta
ia tidak buta namun, sentiasa melihat dan merasa.
Jika ia sebuah cinta
ia tidak menyiksa namun, sentiasa menguji.
Jika ia sebuah cinta
ia tidak memaksa namun, sentiasa berusaha.
Jika ia sebuah cinta
ia tidak cantik namun, sentiasa menarik.
Jika ia sebuah cinta
ia tidak datang dengan kata-kata namun, sentiasa menghampiri dengan hati.
Jika ia sebuah cinta
ia tidak terucap dengan kata namun sentiasa, hadir dengan sinar mata.
Jika ia sebuah cinta
ia tidak hanya berjanji, namun sentiasa coba memenangi.
Jika ia sebuah cinta
ia mungkin tidak suci, namun sentiasa harmoni.
Jika ia sebuah cinta
ia tidak hadir kerana permintaan, namun hadir karena kebutuhan.
Jika ia sebuah cinta
ia tidak hadir dengan kekayaan dan kebendaan, namun hadir kerana pengorbanan dan kesetiaan.

 

001435_pinkheart2.jpg

Saat ini teman serumah membantu saya menghitung baki jejak cinta terpendam yang sudah terlalu saya cintai. Pasti, dahulu ego saya menggunung kerana rasa malu yang tidak saya tahu di mana mahu dan aula’ untuk di letakkan.

Perjanjian dua purnama itu dahulunya sangat saya raikan, namun kini ia menghantui. Semakin takut dengan bayang sendiri lagaknya. Ramai yang bertanya untuk saya lanjutkan ikatan dua bulan itu, namun manakan daya sebahagian rasa di hati itu saya mampu untuk terus pendamkan. Sudah dua bulan saya tertahan rasa, memendam cinta yang satu lagi itu.

Dahulu bukan sahaja sahabat dan kawan-kawan yang suka memadan-madankan saya dengan cinta ini, malah mak dan ayah turut mengampu saya menerima status itu. Namun saya berkira-kira. Selama sedari tamat SPM mereka melobi cinta itu, namun saya menolak dan berkira-kira. Bukan ego, tetapi takut mencuba. Takut terkalah dengan nafsu sendiri. Nafsu saya muda ketika itu. Mungkin berapi berkepul asap bisa melemaskan. Ah, saya yang kurang keyakinan diri sebenarnya.

Optimisnya, setiap aturanNya itu pasti adalah terbaik untuk setiap yang bergelar makhlukNya. Kekurangan, kelebihan, keindahan itu diraikan dengan positif kerana tahu itu semua milik dan dariNya dan harus berlapang dada dalam menerima. Bukan menjunjung kelebihan apatah lagi merendah kelemahan, tetapi optimis dengan Sang Khaliq! Itu namanya yakin yang mantap! Dan saya masih belum mampu mencapai tahap itu.

Saya keterbayangan mereka yang meratah cinta itu bertahun lamanya, pasti sudah hanyut dan kukuh cintanya. Namun saya terfikir, apakah mereka sudah selalu menyatakan cinta itu? Kerana saya masih malu-malu mengaku suka dan cinta itu. Saya harus belajar dengan mereka yang makan asam menjilat garam lebih kerap dan lama sehingga ia menjadi rutin mereka.

Dalam belajar mungkin saya perlukan rembulan penuh untuk menggagah jiwa menyimpul kata. Cinta yang itu sangat jelas bukan sesuatu yang mudah terlafazkan. Belajar puitis-puitis, jiwang-jiwangan, itupun belum tentu cinta itu sampai ke tahap tertinggi. Perlunya menghadam penghayatan dalam lautan keikhlasan, lalu baru lah melayar bahtera kata cinta dalam bait ter-indah yang mampu menarik cinta itu dekat dengan diri.

Kotak memori kadar tinggi anugerah ILAHI memusing memori lama yang merakam kelemahan saya menolak pemberi-pemberi cinta terdahulu. Lalu saya bayangkan bertapa hati tulus ikhlas itu hancur di giling ideologi kuno bernama culas. Malas yang menjadi teman karib. Sedang mereka berhempas pulas menyata cinta demi membentuk jiwa-jiwa besar. Tetapi ideologi itu keras saya pegang saat itu.

Namun Alhamdulillah sekali lagi DIA beri peluang untuk saya hadir sebagai pemberi cinta. Cinta suci yang DIA kurniakan di dalam hati setiap insani. Saya sengaja menjerumus diri. Buat merasa sedikit masin manis masam pahit bercinta yang satu itu. Dua purnama ini saya menghadam kutub kanah yang sarat dengan tema cinta yang satu ini.

Dan hari ini dek kerana cinta itu saya merajuk dengan pengharapan. Mula rajuk saya biarkan cinta itu dengan dirinya untuk memberinya ruang berfikir secara rasional hala tuju cinta kami. Bercadang sebenarnya untuk cinta itu datang memujuk lalu menadah kembali lautan yang sarat rasa ini. Namun lama kelamaan saya terkalah dengan rasa sendiri. Cinta mendalam membuat saya kangen melafaz rindu yang tak terlafaz, lalu saya pujuk cinta satu itu dengan cara perkongsian masa. Ah, apakah cinta satu itu faham? Atau saya sendiri jumud memahami jiwa sendiri?

Kaku dalam caturan masa, saya tersimpul dalam bicara cinta. Saya belajar melafazkan sebelum terlambat. Dan saya tidak mengharap apa-apa balasan kerna pasti cinta itu bukan mengharap balasan kenyataan, tetapi balasan perasaan. Saya merasanya walau sesekali hanya terkesan di pinggir sekeping hati.

Alhamdulillah, thumma Alhamdulillah, thumma Alhamdulillah. Hari ini terasa bisikan angin yang menyampaikan cinta satu itu. Ya, walau saat ini tinggal sepicing putaran masa, saya tahu bertapa yang bakal di tinggalkan itu tidak bermakna cinta itu bakal pudar dan sirna di hadam susur nyawa.

Betullah pepatah melayu yang terungkap, ‘cinta itu manis setelah dikau merasa dengan memberi’.

Terima kasih para pemberi cinta yang saya tidak tersambut suatu masa dahulu, terima kasih.

Terima kasih buat mereka yang telah terlalu lama melobi posisi pemberi cinta pada lautan ilmu ALLAH swt, terima kasih mak ayah dan keluarga semua.

Dan yang utama, Terima kasih kepada cinta saya saat ini; ibnu katsir, al qurtubi dan al maliki.

 

Kalian mengajar saya melafaz cinta dalam relung rasa yang paling dalam dan sarat makna dalam kehidupan saya.

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah thumma Alhamdulilllah.

Tiba-tiba sahabat saya berkata;

‘Apa lagi cikgu. Bagitahu jelah!’

Saya tertawa. Kerna dia sudah lari dari tajuk.

~ by nahwanNur on April 20, 2009.

12 Responses to “Belajar Menyatakan Cinta”

  1. Pada menyatakan cinta terungkap seribu satu rahsia yang tak terlekang dek bahang merekah atau bekunya bicara pada kalam bicara. Bila pandang pada awanan membiru terlakar kemas janji menanti pelangi, bila renung redup mendung merasa ingin panasnya mentari, bila melirik pada bukit serasa berada di puncak.

    Semuanya tersimpul terikat ikatan rahsia yang tak pernah padam sampai bila-bila. Sungguh, selalu mengharap CINTA agar termakbul lalu dedaun layu segar menanti rebahnya usia. Bersilih ganti perdu tetap saja ianya bernama CINTA, tetap saja menjadi simbolik keagungan sebuah impian. Jangan biar tadahan persis keladi menerima lalu menyimbah kembali.

    Bila sudah terlaksana janji ikatlah ia kemas agar tak lari. Supaya kekal CINTA abadi. Itu pesan Sang Abid dalam pengabdian Al-Khaliq.

  2. Assalamualaikum…

    Erm, rasanya akk faham apa yg adik maksudkan dlm entri kali ini…
    Mak ayah akk pun selalu juga melobi akk menjadi ‘pemberi cinta’ itu, tapi akk kurang meminatinya. Tetapi entah kenapa sejak kebelakangan ini akk kepingin pula nak menjadi ‘pemberi cinta’. Pemberi cinta part time jelah pun…

    Jangan sedih dengan terpisahnya cinta itu, pasti kau akan ketemu dengan kenalan pemberi cinta yang lain, penerima cinta, dan cinta yang lebih baik lagi. InsyaAllah.

    Paling penting..tamatkan silibus cintamu di Taman budi dan Ilmu, InsyaAllah adik akan temui cinta tersebut selepas itu…sebagai Dr. Cinta Nahwan Nur..:)

  3. >> Akhi Farid Rashidi:

    Syukran atas bait kata yang indah dan benar belaka.

    >> Kak Hidayah:

    Wah tahniah. Big applause for you sis. Tepat! :)

  4. salam alaik..
    ehem..ehem..

    tntg LUV..
    ic.. mengharap cinta siDIa..
    man? who? sape ekk..?

    no matter who.. when.. how.. what..
    CINTa ni abstrakk..
    makin dipiiaq makin merebak..ehehe..
    ups.. tgk juge case study tu utk reseacrh yg mana kan..
    kok yg xbyk survey.. questionnairess boleh bulat hentam tembak jwwpn.

    tpi, kok yg gune soalan subjektif.. kena jwb pnjng ni dik..
    ahahaa.. ;)

    haa..p NIG – NISA’ Indoor Games 25 april 09- shah alam..
    joMm.. jumpe di sana… di sana…

  5. >> kak syidah:

    aduh kak, akak lari tajuk macam kawan saya lah :) Bukan si dia (man) kak, tapi pelajar-pelajar saya ni :D

    saya tak dapat pegi kak, ada takrim sekolah :(

  6. Tutur Shaykh Abu Said Abil Khair:

    “Jika engkau mencari kedekatan dengan Sang Kekasih,
    cintailah setiap orang..

    Dengan hanya memandang kebaikan mereka
    baik ketika mereka hadir ataupun tidak.

    Jika engkau menginginkan kejernihan dan kesegaran
    layaknya hembusan angin di pagi hari,

    jadilah seperti matahari yang tidak memiliki apapun
    tetapi menyinari dan memberikan kehangatan kepada siapapun.”

    ~~~

    Pemberi Cinta yang terang,
    hakikinya semua jiwa, tercari-cari.
    Andai masih lemah dan kurang,
    terus-terusan baiki-lengkapi diri.

    Berkhidmatlah untuk-Nya,
    penuhi ubudiyah di hati.
    Tatapi akan makhluk-Nya,
    penuh kasih, cahayai nurani.

    Jadikan diri penebar yang dermawan,
    pengongsi Cinta yang budiman.
    Dia-kan jadi Peneman,
    diri takkan terasa keseorangan!

    In sya Allah.

  7. salam ‘alayk

    akak…kebetulan posting zul yg terbaru juga berkaitan cinta, cuma ia x selembut tutur bicara akak tp keras dan membakar jiwa2 yg mengerti…

    apa pun, terkenyit2 juga zul mata zul baca entry ni, mencari2 yang tersirat, jumpa?…mungkin…

    semoga Allah merahmati semua…

  8. >> Ibnu Abas:

    SUbhanALLAH indah sungguh dan menyentuh. SYukran dik atas perkongsiannya.

    >> Zul:

    Akak dah baca sikit zul. Na’am, banyak kebenarannya. ENtri akak ni pun tiada kene mengena dengan itu, tetapi Chenta seorang guru ganti ja :)

  9. Cinta…..Memang abstrak dan sukar untuk dimengertikan. Apa-apa pun, biarlah cinta itu bersandarkan pada Allah dan jangan sekali-kalimelebihi cinta pada Allah. If not, bila cinta itu mengkhianati atau direnngut pergi, kita akan hilang pedoman

  10. :)

    Semoga dipermudahkan urusanmu, dalam menagih CINTA dan bercinta, kaknur.

  11. salam… firstly suke dpt jejak balik blog nih.. hehe.. almaklumlah si coklat yg baru sedar dr tidurnya..

    entri bout cinta.. suke2!

    cinta yg dimulakan dengan lafaz bismillah dan disambung dgn lafaz aku terima nikahnya dan diakhiri dgn innalillahi wa inna ilai rajiunn.. itulah sebaik cinta.. cinta pada manusia..

    x cukup complete lg tu. main hentam je.. sori, x pndai nk nyatakan.. cume yg pasti cintakan ilahi adalah cinta yg sejati.. peace!!

  12. [...] ‘berlembut’ melayan anak muridnya. Termasuk tahun ini, sudah 17 tahun emak melayan chenta itu. Berbekalkan kelulusan empat tsanawi nya, emak mengajar di SAR (sekolah ugama rakyat) dengan gaji [...]

Leave a Reply




Powered by WP Hashcash