Perkahwinan: Antara 2 Ideologi

1
“Eh, siapa kawin tu?” soal guru di sebelah saya. Saya tersenyum, sedikit malu.
“Entah, tiba-tiba keluar gamba ni. Saya cari pasal sains, yang keluarnya pasal kahwin.” Jelas saya.
“Ha, itu maknanya, dah sampai masa nti kawin. Dah ada calon ke belum? Bila mahu kawin?” Usik guru tersebut sambil mengenyit mata kepada saya, tersenyum dan meneruskan kembali kerjanya.
“Belum ada. Tapi kalau boleh esok, InsyaALLAH” jawab saya. Senyum.

2
“Eh, nti sem ni last ya? Cukup dua tahun ya?” soal rakan sekolej saya.
“Erm, ikut offer letter bulan 11 ni. Tapi rasanya, insyaALLAH bulan 4 tahun depan, amiin” jawab saya sambil tersenyum.
“Oh, macam tu. Nti bila mahu kawin?” soalnya lagi. Soalan yang sama.
“InsyaALLAH esok. Kalau boleh esok.” Saya jawab yang sama. Senyum.

3
“Eh, nahwan 25 tahun ya?” soal guru senior di sekolah itu.
“Ya kak. Alhamdulillah.” Jawab saya ringkas.
“Ha, bila nak kahwin? Sudah berpunya ke belum.” Soalnya lagi.
“InsyaALLAH esok. Kalau boleh esok.” Saya jawab yang sama. Senyum.

Anda tertekan atau tidak jika di ulang Tanya begitu? Benar, tanyalah kepada semua muslimah yang bakal dan sudah menyelesaikan pengajiannya, pasti tiada persoalan lain yang timbul melainkan soal perkahwinan. Bagi saya, tiada masalah, tanyalah. Dan saya akan menjawab dengan jawapan yang sama.

wedding details 1

PERKAHWINAN ITU TAKDIR?


Acap kali kita mendengar perkahwinan itu suatu fitrah, sunnah dan sebagainya. Pernah saya mendengar bahawa setiap orang itu sudah ditentukan sejak azali tentang pasangannya, dan pasti semua punya pendamping yang telah di atur ALLAH swt. Dan sudah terdapat nas dan dalil-dalil mengenainya. Namun, tidak kurang juga ramai yang tidak punya pasangan hidup sehinggalah ke hembusan nafasnya yang terakhir.

“Hajjah meninggal?!” soal saya kaget. Baru semalam kami berbicara tentang Hajjah dan komitednya kepada kerja. Dan baru semalam juga rakan saya berjumpa dengannya untuk menghantar tugasan. Rakan saya mengangguk.

“Ya. Kami pergi ziarah jenazah. Kasihan. Tiada siapa yang uruskan. Cuma emaknya yang sakit tua dan anak saudaranya.” Cerita rakan saya. Ya, hajjah yang dimaksudkan juga salah seorang yang tidak pernah berkahwin sehinggalah dia pulang kerahmatullah 3 minggu lalu.

Saya pernah mendengar ceramah Ustaz Zamri (bukan mari mengaji) di radio Ikim.fm yang menyatakan ada satu hadith berkaitan. Katanya, sememangnya ada wanita yang ditakdirkan tidak mempunyai pasangan hidup, dan ditakdirkan untuk tidak mendirikan rumah tangga. Dan mereka ini, jika amat menjaga diri dari perbuatan munkar (seperti pelacuran demi memenuhi nafsu dan sebagainya), nyata ganjarannya adalah syurga ALLAH swt. Ini jelas memperlihatkan bahawa fitrah manusia itu memerlukan kepada berpasangan di antara insan dan fitrah ini mampu mengelakkan individu itu terjerumus ke lembah maksiat dan munkar. Namun, setiap perancangan ALLAH swt pasti punya kebaikan dan hikmahnya, dan mereka yang telah ditakdirkan untuk tidak mengecap kebahagiaan berpasangan di dunia dan di tempuh dengan penuh sabar pasti di beri ganjaran setimpal kesabarannya. Dan kesabaran ini tentunya amat memerlukan keyakinan kepada ALLAH swt dengan keimanan yang tinggi.

“dan (ingatlah) Maryam binti Imran yang memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi disebabkan Kami telah taqdirkan dia mendapat anak), maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebagian dari ruh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimat Rabbnya dan Kitab-KitabNya, dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat.”
Surah At-Tahrim, 12

Inti sebenarnya adalah, keyakinan kita di atas apa sahaja yang ALLAH swt telah takdirkan kepada kita, lalu berusaha untuk melakukan sehabis baik di dalam ruang nikmat yang telah ALLAH swt beri pada bahagian kita. Biar terkadang yang pahit itu terpaksa di telan, dan ada kemanisan yang tidak mampu kita rasai seperti hamba ALLAH yang lainnya. Meyakini bahawa yang paling membahagiakan itu adalah cinta AgungNya.

ATURAN DAN PERANCANGAN: Manusia atau Pencipta?

Dua hari lalu saya dan angah pergi melawat sahabat karibnya, Kak Z. Sudah hampir 5 tahun tidak berjumpa kakak ini. Kebetulan angah ada perbincangan dengan kakak ini untuk ujian E.N.T dan Sakit Puan, untuk master masing-masing. Dan tugas saya untuk menjaga anak angah :) Kisahnya bermula 5 tahun lalu. Saat itu saya dan angah tidur di rumah Kak Z di Muar. Hujung minggu itu dia bakal disatukan dengan suaminya sekarang.

“Kak Z, nanti bacalah doa ni ya, insyaALLAH segalanya akan lancar dengan izinNya.” Saja saya mengingatkan Kak Z dengan du’a yang saya baca dari buku dan dengar dari ceramah-ceramah. Saat itu Kak Z sering mengeluh gementar dan takut.

“Erm, boleh nahwan tulis? Akak tak dapat tangkap awak baca.” Pinta Kak Z.

“Nahwan, apa pentingnya baca doa ni ya? Erm, boleh bagi tahu sebab dan kepentinggannya tak? Bukan apa, bakal suami Kak Z ni sebenarnya sangat lemah bab agama. Dan kadang-kadang dia tak tahu pun perkara tu wajib atau sunat. Kalau Kak Z bagitahu mesti dia suka soal balik. Sampailah Kak Z bagi fakta dan berjaya yakinkan dia, barulah dia nak buat sesuatu perkara tu. Walau pun perkara tu wajib, tapi mesti ada fakta kukuh.” Cerita Kak Z. Saya tersenyum.

Suami Kak Z sebenarnya seorang yang pandai, dan salah seorang pelajar terbaik pengajiannya. Sayang bukan? Kerana Ilmu agama itu sepatutnya seorang muslim itu fahami dan arifi terutama bab wajib sunat dan makruh sesuatu ibadah itu, ia amat-amat diperlukan terutama sekali buat pemegang bahtera perkahwinan. Apa mampu saya nyatakan pada saat-saat terakhir sebelum mereka di satukan? Jika beberapa bulan sebelumnya mungkin saya mampu meminta Kak Z menilai semula asas agama bakal suaminya lalu jika ia mampu membimbing walau sedikit-sedikit maka diterima, jika tidak, maka tinggalkan lah.

Ya! Saya akan katakan kepada semua sahabat muslimah, pilihlah seorang lelaki yang punya pegangan agama yang baik, walau hanya dia mengarifi perkara yang wajib/asas bagi seorang muslim.

“Kak Z, doa banyak-banyak. Doa kita buat orang kita sayangi insyaALLAH cepat sampainya kepada ALLAH swt.” Jawab saya ringkas saat itu.

Dan dua hari lalu, saya mengetahui bahawa Kak Z perlu lebih kuat kini, kerana badai itu belum berhenti buat mereka. Ketika kami (saya dan angah) sampai, jam sekitar 1 tengahari, hari jumaat. Dan kami pulang sekitar jam 3. Dan sepanjang berada di sana itu, suaminya tetap di sana. Bermakna suaminya tidak pergi solat jumaat. Dari air muka Kak Z saya tahu banyak perkara yang dia mahu bualkan. Dan sepanjang dia dan angah berbual, kerap saya melihat dia terjeling-jeling suaminya yang asyik menonton TV di ruang tamu itu. Dan tidak mampu saya nafikan bahawa sudah terdapat beberapa perubahan pada sikap dan pegangan Kak Z. Semasa menyambut kami di luar rumah juga, dia sudah tidak mengenakan tudungnya.

“Doakan aku ya.” Ringkas ucap Kak Z sewaktu bersalam dengan angah. Saya tahu pasti semua muslimah mahukan sinar kebahagiaan dan bimbingan terutamanya dari segi agama. Dan semasa di rumah, angah menceritakan segala-galanya cerita Kak Z. Dan tahulah saya, Kak Z masih berusaha untuk rumah tangganya. Moga ALLAH swt memberi kemudahan kepada Kak Z sekeluarga terutamanya dalam membina Bait muslim yang bakal menjana calon-calon pejuang agamaNya.

Adakah muslimah itu perlu memilih pasangannya? Ya. Pilihlah kerana ingatlah bahawa asas sesuatu cinta itu adalah CINTA ILAHI. Mana mahu kita raih kebahagiaan jika Cinta Agung itu kita letakkan dalam bahtera dunia yang mana bernaungnya Cinta DIA? Bukan perlu terlalu memilih, tetapi pilihlah seseorang yang turut mendamba cintaNya. Mungkin diri lemah, tetapi jika dalam persoalan meraih cintaNya, setiap orang itu perlu terus-terusan berusaha. Dan nilai usaha itulah sebenarnya yang di nilai ALLAH swt untuk redhaNya, bukan ketinggian itu. Dan buah usaha dengan ikhlas dan yakin itulah yang bakal membawa kepada ketinggian iman dan akhlak seorang manusia.

Syeikh Yusuf Al-Qardhawi ada menekankan perkara ini di permulaan bab buku Muslimah Hari Esok tentang peri pentingnya seorang muslimah itu mengetahui agama bakal suaminya, sekalipun calon suaminya itu adalah aturan ibu bapanya. Malah, perihal hak wanita di dalam perkahwinan ini juga tidak termati malah diangkat martabatnya, dan ini ada diterangkan lanjut oleh Syeikh Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya yang bertajuk ‘Darjat Wanita dalam Islam’.

Diriwayatkan oleh atTirmizi, Ibn Majah: Dari Abu Hurairah r.a beliau berkata Hadith ini hasan gharib; maksudnya:
“Jika kamu didatangi oleh lelaki yang kamu redhai akhlak dan agamanya, maka kahwinkanlah ia (dengan anak perempuan kamu). Jika kamu tidak melakukannya nescara akan berlaku fitnah (kerosakan) dan kefasadan yang besar di atas permukaan bumi.”

Wallahua’lam

Khulasah Buku: Muslimah Hari Esok

Unit 1 (a)

NahwanNur

3 Responses to “Perkahwinan: Antara 2 Ideologi”


  • Zaman sekarang ramai wanita dan lelaki yang berusaha mencari pasangan yang baik tetapi kurang usaha menjadi diri yang baik.

    Mereka mendambakan pasangan yang baik tanpa menjadi diri yang baik terlebih dahulu.

    Pada pandangan akk, untuk mendapat pasangan yang baik adalah dengan berusaha menjadi hambaNya yang terbaik dahulu. Kemudian terus seiringkan menjadi yang terbaik dan mencari yang terbaik.

    InsyaAllah, yakinlah dengan janji Allah dlm wahyuNya. “lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat”. Dan dengan itu, Allah turut berfirman bahawa “lelaki dan perempuan yang berzina adalah untuk pasangan yang berzina juga.”

    InsyaAllah, di situlah keadilan Allah

  • Assalamualaikum,

    Alhamdulillah..tajuk ini sesuai untuk ‘Muslimah Hari Esok’.

    Tajuknya bunyi seperti ada sesuatu yang tersimpan, bila dibaca baru tahu ertinya. Apapun, masalah ini ana ada tulis KLIK DI SINI

    Semoga bertemu jodoh dengan lelaki beriman dan soleh.

    Sedikit pembetulan. ‘Makhruh’ ejanya ‘Makruh’.

  • Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh. Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah… kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa. Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang untuk berumahtangga dengan pasangan ‘itu’ walaupun mungkin tidak 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya.

Leave a Reply

Spam protection by WP Captcha-Free