header image
 

Bercinta dengan Syawal

Bismillah ar Rahman ar Rahim,
Salamullahu `alaikum wa Rahmatuhu wa Barakatuh dan Salam di dalam berkah Syawal

.

Alhamdulillah, setelah di beri seminggu kerehatan oleh ALLAH swt, di samping banyak benar cerita tarbiyyah Dia buat saya, sungguh saya sendiri terkedu dengan begitu banyak rezeki yang jauh dari apa yang saya harapkan saat ini. Maka nikmatNya yang mana engkau dustakan wahai manusia?

Alhamdulillah, summal hamdulillah, summal hamdulillah.

Tetapi sebelum itu, suka sekali saya mengetahui kondisi para sahabat maya yang di rahmati ALLAH swt di dalam kemuliaan ramadhan yang berlalu di ganti dengan keindahan Syawal kini. Apa khabar iman kita hari ini? apa cerita ibadah kita sepanjang ramadhan lalu, adakah istiqomah terlaksana sepanjang seminggu syawal ini? Apa khabar rasa dan jiwa serta hati kita? Adakah sesuci dan sebersih mulusnya sewaktu ramadhan? Jom sama-sama tepuk dada tanya hati dan iman.

Menyorot kembali diari seminggu bersama syawal di kampung membuat saya tersenyum di apit cinta itu. SubhanALLAH walhamdulillah.

raya2 final B

Monolog 1: Kering tetapi Kuat

Sebetulnya saya kekeringan idea dalam menulis, seperti mana saya kekeringan idea mengarang thesis sendiri. Apapun saya kepingin benar berkongsi kisah cinta saya bersama Syawal Mubarak, kisah keraian para manusia seusai berperang dengan ‘diri sendiri’. Saya sendiri, tidak mampu menafikan bahawa di dalam peperangan ini, saya sering terjatuh, tersungkur, berjurai air mata, gembira, Berjaya dan tersenyum syukur padaNya. Namun setiap satu itu, pasti tidak juga dapat saya nafikan bahawa ia tetap mempunyai ibrah didikan jiwa dari Tuan saya buat hambaNya yang kerdil ini. Tulus mulus kasihNya serasa manis jika mampu akal sendiri menilai berlandas iman di hati, namun pahit jika nafsu juga yang menggagahi.

Pulang ke kampung memberi ribuan makna bahagia kerana di apit cinta ikatan yang segar.

‘Mak anjang, esok last naim tak nak puasa ya.’

Beritahu anak buah saya yang baru menyelesaikan pra sekolahnya.

‘Eh kenapa pulak?’

Saya memulangkan reaksi dengan persoalan.

‘Naim kan puasa selang seli. Hari ini naim puasa esok tak.’

Jawabnya sambil ligat ingatan saya mengira hari yang naim tinggalkan tanpa berpuasa.

‘Eh selang seli ke? Bukan naim tinggal puasa 3 hari je tahun ni?’

Soal saya memina kepastian.

‘Haa yelah mak anjang. Jadi maknanya naim puasa banyak banyak dari tak puasa. Ha tengok ni, naim dah ade 24 ringgit.’

Jawab abang sulung daripada tiga permata hati yop itu sambil tersenyum dan mengeluarkan wang seringgit-seringgit bernilai RM 24 ganjaran puasa nya. Saya tersenyum.

‘Ha, kalau macam tu, esok naim puasalah dapat 25 ringgit. Boleh nanti naim bagi mak anjang sikit.’

Pujuk saya sambil sempat mengacau. Tersenyum.

‘Alaa. Esok mesti nenek masak sedap. Naim nak makan banyak-banyak. Kalau puasa tak dapat nak makan. Alaa, nanti kalau share sikit lah jadinye duit naim.’

Rengek nya lagi.

‘Aik, kan nenek masak sedap-sedap tu petang, waktu berbuka baru boleh makan tau. Kalau naim puasa sungguh-sungguh bukan sebab apa-apa, nanti apa naim nak boleh dapat, sebab bukan umi dengan abi dengan makanjang, nenek atok je yang sayang naim. Tapi ALLAH sayang sangat dekat naim. Lagi banyak dari duit ni tau.’

Pujuk saya lagi. Kali ini mak pun turut menurun kan kata-kata pujukan pada naim yang beriya-riya tidak mahu puasa pada hari terakhir ramadhan itu.

‘Mak anjang, umi kata, atromen tu kuat sebab kuasa tu ALLAH yang bagi die. Mesti sebab ALLAH sayang die kan makanjang. Nanti boleh lah naim minta kuasa cam atromen.’

Naim dah masuk bab kuasa luarbiasa itu, saya memang lemah mahu mencipta ayat.

‘Ha lagi kuat dari atromen lagi naim boleh jadi. Naim boleh mintak jadi lebih kuat dari atromen, macam jadi kuat sabar tak marah adik, tak suka merajuk, kuat puasa, kuat sembahyang. Kalau naim puasa tapi boleh lagi main-main, ha! kan itu lagi kuat dari atromen. Cuba kita tengok esok naim kuat tak nak puasa pastu main macam tadi, kuat tak dari atromen.’

Kata saya yang sudah mula melalut. Naim tersenyum simpul. Suka agaknya. Atau dia sudah tahu saya hanya merepek. Saya pun tidak pasti, tapi tidak mengapalah.

Alhamdulillah akhirnya naim puasa dan dengan gagah bermain di luar sehingga saya sendiri surrender mahu bermain bersama, biarkan sahaja adik lelaki dan ayah yang menjenguk budak-budak itu bermain.

.

Monolog 2: Putih Hitam dan Hikmah

Walaupun penat mahu melayan keletah kanak-kanak, namun itu cukup mendidik jiwa menjadi tabah dan lebih kritis. Dalam membentuk jiwa yang memahami Islam dan Tuhan yang Esa, dengan dominasi multimedia yang kebanyakan jauh dari hakikat itu, seorang ibu dan bapa sememangnya perlu dahulu mendidik hati dengan dua perkara tersebut. Dengan pendekatan yang berbeza berdasarkan waktu, situasi, dan perwatakan individu, seorang da’ie harus peka dengan taktik yang mahu di ketengahkan di dalam dakwah ini. Samada dakwah nyata atau tidak, tetapi perlulah pendekatannya sesuai dengan target mad’u.

‘Adik, akak jujurnya lebih suka bersembang dengan orang yang bila kami bersembang, pasti menyentuh perihal ketuhanan dan agama.’

Beritahu seorang sahabat blogger sewaktu pertama kali pada malam raya pertama itu saya menalifonnya.

Saya tersenyum. Bukan apa, kerana saya mengingati suasana persekitaran yang dahulunya saya terlibat, mungkin boleh di katakan  50/50 sahabat yang mengingati saya tentang kebaikan dan biasa-biasa sahaja, dan ada yang jauh dari landasan kebenaran.

Sepanjang saya mengenali dunia maya, sejujurnya saat itulah saya semakin akrab dengan sahabat-sahabat yang bila bercakap, pasti menyentuh hal ketuhanan dan agama, dan saya tidak mampu menafikan bahawa ia sesungguhnya membawa ketenangan dan dan kedamaian di dalam jiwa saya.

Namun saya terfikir, adakah benar kehidupan bersama sahabat terdahulu tidak memaknakan akhirat? Maksud saya, ramai sahabat saya terdahulu jarang berbicara tentang agama, ALLAH swt, dan sebagainya, lalu adakah itu tidak membawa kegembiraan kepada saya? Atau adakah ia sekadar gembira di hiburkan hal dunia tanpa sedetik memikirkan akhirat?

Tidak.

Saya terfikir satu perkara. HIKMAH. ALLAH swt maha pemberi hikmah.

Kebetulan petang raya pertama itu saya di ziarahi salah seorang sahabat lama yang dahulu pernah tersungkur di perlembahan maksiat. Dia datang bersama anak lelakinya yang masih tidak diketahui bapanya, namun memiliki seorang bapa tiri yang amat menyanggupi segala kemungkinan dengan mengambil ibunya sebagai isteri. Seorang lelaki yang menjadi bidan terjun tetapi terus di hina oleh masyarakat sekeliling yang menuduhnya si tupai durjana, walhal mereka tidak sedikit pun tahu perihal sebenarnya.

‘Nahwan, lama tak jumpa ko. Ko balik aku tak de masa nak datang lawat.’

Katanya saat bersalaman di muka pintu. Tersenyum.

‘Kita balik pun kamu tak datang jenguk opah kamu. Ada juga tanya opah kamu, tapi dia pun tak tahu.’

Jawab saya sambil mengacah anak lelakinya yang berumur hampir mencecah 2 tahun.

‘Ayahnya mana?’

Soal saya kerana jarang benar suami sahabat saya ini datang bersama jika sahabat saya datang berziarah rumah saya mahupun rumah opahnya.

‘Ade le dekat rumah mertua aku. Takde kenderaan nak datang. Nahwan, orang kata jeff…’

Jawabnya namun kata-kata terakhirnya tergantung. Saya mengangkat kening meminta dia meneruskan kata.

‘Orang kata aku bodoh kawin dengan Jeff. Jeff tak berpelajaran. Aku bodoh kawin dengan orang bodoh. Orang kata apepun die tak bagi dekat aku sejak kawin. Tapi Jeff pun kan susah…’

Luah dia dengan wajah kelat. Perlahan dia bercerita mungkin takut ahli keluarga saya yang lain mendengar.

Sunyi seketika, hanya berbalas senyuman kelat dan tawar. Sayu rasanya melihat merah matanya, dan jarang sudah dia mahu menatap saya semenjak berita dia mengandung luar nikah itu tersebar, selalu sahaja dia mengelak dari mata kami bertentangan.

‘Nahwan, tolong, jangan lupe aku sampai bile-bile.’

Terngiang-ngiang katanya saat saya menziarahinya sewaktu baru lepas bersalin si anak kecil itu.

Oh orang-orang yang berkata-kata, apa lagi yang mahu kalian lihat yang membolehkan kalian berhenti dari terus berkata-kata yang hanya membawa luka lebih dalam pada seorang yang sedang ‘sakit’.

‘Mikail salam mak anjang. Nanti tak dapat duit raya lah.’

Kata dia meng acah anaknya sewaktu mahu pulang. Saya tersenyum.

‘Eh mak anjang tak dapat bagi lagi, belum kerja. Ini dari atok dan nenek, mak anjang tolong bagi.’

Jawab saya sambil mencubit pipi mulus yang tiada dosa apapun lagi, melainkan dosa yang diletakkan orang ramai kerana kekhilafan ibu bapanya. Adilkah kita sebagai manusia?

Dia antara sahabat saya yang bukan sahaja jarang berkata tentang ALLAH swt, agama dan bukan sekali sahabat saya yang boleh saya bawa berbincang secara terus tentang agama dan akidah. Namun, di sebalik kisah hidup nya, cukup dari riak wajahnya, cukup dengan merah matanya, dan cukup dengan peluk dan ciumnya, cukup dengan itu walau tiada bait kata, cukup untuk mengatakan keimanannya pada ALLAH. Namun mungkin buntu di dalam cara dan kata. Dan ia cukup mengingatkan saya pada kasih sayang ALLAH Az Zawajalla buat kita hambaNya.

Setiap sahabat cukup mudah mencuit rasa dalam mengingati kita kepada Pencipta. Sekecil-kecil perkara yang mungkin paling kecil boleh kita ingatkan ialah, tentang kasih sayang. Dari mana datangnya rasa rindu, kasih dan cinta ini jika tidak darinya. Dan dari mana kita mempelajari sesuatu tindakan mereka itu benar atau salah di sisi Islam jika tidak dengan melihat setiap tindak tanduk ini. Sekurang-kurangnya mungkin kita mampu berterima kasih kerana kisah pahit kehidupan mereka merupakan layar hikmah buat kita untuk tidak sama menjebak di dalam kemurkaan ALLAH swt.

Lalu janganlah terus lupa mendoakan kebaikan buat semua sahabat kita. Kerana kasih sayangNya.

.

Monolog 3: Cinta

Saya suka dengan cinta. Orang sekarang suka salah sangka. Berkata cinta tersengih sampai ke telinga, merah muka jadinya. Kata sahaja cinta, sudah di katanya bertunang, berkahwin (bagi yang bujang). Senyum sahaja.

Siapa tidak suka dengan cinta? Cinta itu perasaan subur yang hasilnya rasa yang di bajai di dalam hati. Nikmat yang di anugerahkan oleh Al Wadud. Tidak lain kerana Maha Cintanya Dia kepada hambaNya lalu di berinya rasa bercinta kepada ciptaanNya demi untuk memberi kita sepicing gambaran terhadap cintaNya yang agung.

Dan kerana cintaNya, maka bergolek rezeki menjengah buat sekalian manusia.

Alhamdulillah. Syawal kali ini menjadi bulan pertemuan saya bersama cinta saya. Antaranya pertemuan pertama dengan Kak Fakhzan sahabat blogger yang sangat saya kagumi corak penulisannya yang santai namun kejap dengan kehidupan dunia yang tidak lebih merupakan ladang akhirat. Ziarah saya bersama emak dan ayah serta adik beradik hampir satu jam lebih cukup berharga. Dan barulah saya mengetahui bahawa kak fakhzan merupakan rakan satu batch kakak ipar saya di MRSM Kuala Berang. Alhamdulillah.

Dan yang kedua pertemuan saya bersama adik yang sangat saya cintai, perkenalan hampir 3 tahun lalu lewat Kawanster membuah kan kasih antara kami. Sehingga kami terus bertaut di laman blog dan akhirnya di pertemukan di kawasan perkampungan yang sangat mendamaikan. Adik  Najah imtiaz @ rashima yang sedang bercuti 3 bulan dari pengajian nya di iskandariah mesir, pertemuan kami juga atas kebenaranNya. Memandang adik syima menjadikan saya teringat adik kesayangan saya iaitu adik durra yang saya temui setahun lalu.

‘Ish kamu ni nahwan. Baru jumpa kawan perempuan dah malu sampai macam tu. Belum lagi nanti nak jumpa bakal suami.’

Usik sahabat saya yang menemani saya ke rumah adik rashima di lenggong.

Alhamdulillah summah hamdulillah summal hamdulillah.

Atas keizinanNya dapat saya bertemu dua orang sahabat maya yang sentiasa saya dambakan pertemuan ini. Berkebetulan pula mereka satu negeri dengan saya, dan itu kemudahan olehNya untuk membolehkan pertemuan ini.

.

Monolog 4: Menyiram keegoaan dengan kemaafan

Rupanya ego itu salah satu sifat semulajadi manusia. Tapi mungkin ada perbincangan lanjut yang lebih mendalam tentang ini. Namun dalam merasai sejuknya kulit saat di hembus angin, di sirami air yang mencurah, sungguh rugi bagi mereka yang masih mempertahankan benteng ego lalu menghalang rasa sejuknya hati dan jiwa di curah sebuah kata maaf.

Rasul Junjungan صلى الله عليه وسلم bersabda :

“Berilah kemaafkan nescaya kamu dimaafkan.”

HR Imam Ahmad ibn Hanbal RahimahuLlahu Ta`ala `Alaih

Benarnya saya juga bisa berasa benar-benar terkesan dengan sebarang kenyataan yang mampu meracik rasa. Namun dalam masa yang sama, saya seboleh nya mahu meruntuhkan ego saya yang terhina kerana nafsu amarah yang di cuit dek teguran yang sinis. Mungkin ada benarnya, saya tidak pasti, mungkin ketidakpastian saya adalah kerana hati celik saya di hijab dosa kecil yang saya lakukan, di simbah titik hitam dek kerana kekhilafan yang saya tidak cuba sedaya upaya hindarkan.

Lalu di kesempatan ini, saya mohon agar kalian pembaca yang di muliakan ALLAH serta sahabat dapat memaafkan saya kerana ALLAH; semoga ALLAH juga memaafkan anda. Salinglah kita bermaaf-maafan kerana ALLAH dan semoga ALLAH sudi memaafkan kita semua.

Amiin Ya ALLAH, Ya Rabb, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Hayyu, Ya Qayyum, Ya Dzal Jalali wal Ikram.

Jazakallahu khir jazak diatas ingatan dan doa antum kepada ana beserta keluarga sempena Syawal yang Mulia ini.


~ by nahwanNur on September 28, 2009.

5 Responses to “Bercinta dengan Syawal”

  1. Assalamualaikum.

    “Jazakallahu khir jazak diatas ingatan dan doa anta kepada ana beserta keluarga sempena Syawal yang Mulia ini.”

    Nak tanya, siapa watak ‘anta’ dlm kenyataan di atas? (,”) hmmmmm….hehe

    Takdelah, saje mengusik adik kesayangan akk ni..

    Doa akk juga buat adik. Semoga tabah menghadapi cabaran belajar. Semoga tabah juga menjadi baby sitter yang mithali. Ken salam kat kakak na…

  2. Wa’alaikumsalam warahmatullah ya habibti,
    :) bukan anta tu kak, sepatutnya antum. Typing error. Alhamdulillah dan terima kasih atas teguran kesalahan. Dan syukran aidhan untuk setiap kasih sayang dan do’a.

    p/s: Amiin ALLAHumma amiin. Baby sitter yang mithali? :) InsyaALLAH…

  3. oh, dah agak dah. Mesti typing error. Ingatkan ada ‘watak tertawan’ di sebaliknya..hehe.

    Udah…udah…bisa jadi bahan gosip nanti dong!

    Ermm..agak2 jadi tak pergi Indonesia? Sumatera dah gempa bumi.

    Akk dah jadi gempa hati. Adik mesti tgh gempa otak skrg ni kan…? Sebab banyak pikior nya…

  4. Ayah kata jadi, insyaALLAH. Sebab kami pergi tempat lain :)

    Dan rasanya tiada masalah kalaupun mahu ke sumatera. Saudara kita di sana amat memerlukan.

  5. salam..
    sama-samalah kita maaf memaafkan kerana kita semua ni memang insan biasa yg x akan lari dari membuat salah..
    jgn jadikan aidilfitri saja utk bermaaf-maafan.
    Maafkan semua orang setiap malam sebelum kita tidur..
    terapi yg baik utk saya dan anda :)

    p/s : i like this entry..hehee

Leave a Reply




Powered by WP Hashcash