Tiada Umphh! …
![]()
Segala puji bagi ALLAH swt kerana atas ke izinanNya, maka saya dapat kembali ke sini, cuba mencoret sesuatu yang punya nilai untuk diri sendiri. 26 oktober lalu, alhamdulillah genaplah usia dua tahun saya di arena penulisan blog. Suatu masa yang sedikit-sebanyak mematangkan saya, samada dari aspek pembentukan diri, sehinggalah ke dunia penulisan. Saya belajar, dan terus di ajar. Rencam dan asam garam itu yang mengajar saya banyak, madu dan gula itu pembakar semangat saya, namun semuanya, harus saya tapis supaya hati dan emosi saya bisa menimbangnya serba sederhana.
Jika dikira mengikut perjalanan saat, bermakna sudah agak lama saya tidak berbicara di sini, sesuatu yang sedikit memalukan saya sendiri. Mungkin waktu yang berlalu itu saya rasakan terisi dengan makna tertentu buat kehidupan saya, namun sapaan rakan membuatkan saya sedar, amanah saya di sini tergendala.
Malah, di dalam sela waktu selama hampir setengah tahun ini, saya mula merasakan penulisan saya tiada umphh! Maaf jika ada yang salah faham, maksud saya bukanlah menginginkan tulisan saya mahu sepopular jenama yang mengangkat nama, tetapi jauh dari itu, saya mahukan sesuatu yang meraikan manfaat dan menjunjung syariat. Saya cuba melarikan cuping dari bisikan pujian mahupun teriakan celaan, kerana merasa ia ujian berat buat saya. Saya bukan tidak suka, cuma ketakutan.
Dahulu, saya mulakan penulisan dengan tema; ‘Muslimah Hari Esok‘ yang saya cuplik dari tajuk buku kecil tulisan Syeikh Yusuf Al-Qardhawi, di terjemahkan oleh PMRAM. Buku ini besar maknanya buat saya. Boleh di katakan ia buku panduan saya dalam membiasakan kebenaran Islam yang cukup cantik di atur-Nya, dan dalam membetulkan kebiasaan yang sebenarnya suatu calar di dalam cerminan kebenaran Islam. Buku kecil ini cukup cantik terhias dengan kata-kata yang mampu membenam wanita di laut muhasabah yang tidak terbatas.
Sepanjang ke’tiada’an saya di sini, atas keizinanNya banyak saya menerima email pertanyaan, ada yang terbalas dan ada juga tidak sehingga kini. Saya membalas mengikut prioriti dan keadaan persoalan, saya tidak suka bermain dengan aturan ‘double standard‘; yang saya kenal saya layan dan jawab persoalannya, yang tidak saya kenali saya abaikan. Sungguh, tidak begitu. Cuma, yang saya diamkan jawapan itu kerana persoalan yang di utarakannya sedikit berat , lalu saya sendiri harus mencatur jawapan supaya ia lengkap sebagai sebuah huraian, bukan kelak membawa fitnah kepada kebenaran. Justeru, saya memohon keampunan kepada persoalan yang belum terjawab kerana saya perlukan sedikit masa lagi untuk mengemukakan jawaban. Mohon doanya.
Apapun, saya suka untuk menyimpulkan kesemua persoalan kepada suatu simpulan; di mana saya melihat persoalan yang di timbulkan terlilit di sekitar permasalahan persoalan hati. Ah, wanita ini sungguh mutiaranya itu kan emosi? Alhamdulillah, kerana masih terpancar fitrah. Namun, saya suka katakan kepada adik-adik bahawa;
Letakkan lah sebarang persoalan itu di paras matamu, supaya kelak kamu tidak akan sakit mendongak saat menimbang persoalan itu, dan kamu tidak payah menyorot terlalu ke bawah melepaskan persoalan itu. Biar pandangan kepada persoalan itu jelas di sudut penglihatan, namun tenang menyorot ke hati. InsyaALLAH, keadilannya itu pasti nyata jika timbangan itu kamu lihat dari mata hati.
Lantas kamu tidak terlalu gelojoh menelan setiap rasa masalah, dan tidak cepat meludah saat merasa tawarnya persoalan kehidupan. Jangan mematikan hati dengan kotor memandang erti kehidupan. Setiap masa itu biar ia berdetik tidak meresahkan, malah mengajar kita akan erti redha, lalu terpukul biduk optimis di seantero kota jiwa dari pelajaran kehidupan ini. Pasti kelak, kita akan terdidik dengan mengerti bahawa itulah sebaik-baik hadiah dari Tuhan.
As Syeikh Abd Qadir al-Jailani rahimahullah pernah berkata;
Bersabarlah bersama-Nya sesaat saja, sungguh setelah itu akan terlihat kelembutan-Nya selama bertahun-tahun~
Saya mencintai Muslimah itu sebagaimana saya mencintai diri saya. Kita dinaung oleh fitrah suci aturanNya. Saya sudah lali dengan manusia cetek fikiran yang suka melabel saya sebagai ‘lesbo‘ (lesbian, panggilan sewaktu di sekolah sekular itu). Sementalah saya bersahabat dengan muslimah lain yang juga sangat-sangat cintakan muslimah, maka bertambah-tambah cinta dan terlalu ingin ‘menjaga’ bersama fitrah suci seorang muslimah.
Saya dikongsi oleh seorang adik akan kata-kata indah ini;
ma ajmalannisa’ fi too a’til Khaliq
alangkah indahnya wanita yang mentaati pencipta-Nya
SubhanALLAH, wanita itu nilainya terlalu tinggi saat di ciptakan. Sehingga saat akhir Nabi Muhammas SAW di dunia ini, salah satu perkara yang disebutnya adalah;
Ittaqun nisa’! Ittaqun nisa’! Ittaqun nisa’!
Sollu ‘alan nabi!
Saya sendiri … kadangkala merasakan seakan ditelan kekuatan saat tertimpa batuan ujian. Tetapi sekental mana saya mahu berusaha menjawab helaian kertas ujian/ peperiksaan, sejauh itulah saya rasakan keperluan kita untuk berusaha menjawab dan menyelesaikan setiap ujian-Nya, malah perlu lebih sehabis baik dan semampu diri kita. Cuma perlu kita ingat, jangan suka membanding kan kelemahan kita dengan kelebihan orang lain, kelak nanti ia lebih mencarik kekuatan kita. Tetapi teruslah optimis bahawa penerimaan ALLAH itu bukan atas kemampuan orang sekeliling kita, tetapi kemampuan diri kita sendiri. Kamu usaha yang paling baik dan sejauh mampu mu, pasti DIA ada membantu.
.Optimis. Itulah yang Rasul Alaihissalam katakan kepada para malaikat yang datang menawarkan bantuan sehingga ada yang menawarkan untuk menghempas segala bukit di sekitar makkah ke atas mereka yang ingkar malah mengutuk setiap kata-kata kekasih ALLAH swt itu. Namun Rasul saw menolak kerana baginda tetap optimis bahawa ALLAH swt pasti merancang sesuatu yang terbaik sebagai hasil dari bayaran jalan yang baginda lalui.
Wallahu’alam
Rasanya setakat ini dahulu kali ini. Terima kasih kepada semua pertanyaan dan ambil berat kalian. Malah segala pujian dan kritikan itu atas keizinan-Nya mampu menjadi pengajaran buat saya.
Saya memohon kemaafan kerana saya juga turut merasakan bahawa … tulisan saya makin kurang, atau mungkin tiada umphh! nya.
Sesungguhnya kepada Dia saya memohon keampunan, dan meraih segala kekuatan. Wallahu al-Musta’an.
Semoga saya bersemangat untuk terus menuju cahaya-Nya, dan si sini, saya tinggalkan sedikit untaian kata buat diri saya sendiri juga buat muslimah yang saya cintai.

Ia
tidak perlu diperagakan
tempatnya di dalam; terpelihara
Tidak perlu dilaungkan kewujudannya
Namun
cukup diketahui bahawa ia asas pertumbuhan.
Ia mencengkam pepohon ke dasar bumi
tegak berdiri; ampuh dan berbuah
memberi manfaat kepada kehidupan.
Ia rapuh jika tidak di baja
akan mati jika tidak di jaga
.
Wallahu’alam bissawab.
















salam akk..
cikpingu said this on December 8, 2009 at 10:40 am
salam kak..
kalaulah akak rasa penulisan akak tidak ada umphh, apakan lagi tulisan saya yang carca merba tu..
salam terus menulis ^^
iliana said this on December 10, 2009 at 12:05 am
Bismillah ar Rahman ar Rahim,
Alaikum as Salam warahmartullah;
segala pujian buat Dia dan setulus penghargaan buat kalian, adik CIK PINGGU iparnya sahabat baik saya, aishah
Syukran atas ziarahnya adik.
Juga buat adik iliana, alhamdulillah wa syukrillah, haza min fadhliy rabbi. Setiap kelebihan itu milikNya, dan syukur alhamdulillah jika punya manfaat terzahir di ruang ini. Juga terima kasih atas salam semangatnya dik
tulisan iliana juga punya manfaat nya, insyaALLAH
nahwanNur said this on December 18, 2009 at 1:36 pm