header image
 

Ia hanya ditelapak tanganmu!

Semenjak 2010 bergantian melayari umur dunia, saya belum lagi berkesempatan mencoretkan sebarang entri, yang terkadang saya berhajat untuk berkongsi rasa dengan pembaca.

Memasuki tahun baru pasti ramai yang memasang azam. Kepada mereka, saya ucapkan selamat berusaha dan semoga semuanya terbaik seperti dirancang. Anda seorang yang terancang dengan misi, jangan biarkan sumbang suara merencat kekuatan azam ada, biarkan ia sampai ke gegendang telinga, memukul biduk semangat anda. Bagi yang tidak, saya tetap doakan semoga kebaikan itu dimiliki dengan diredhai oleh Pencipta kita semua, ALLAH az zawajalla. Anda bukan seorang yang tidak terancang walau tiada azam, tetapi pasti anda merentasi kehidupan dengan perancangan anda yang tersemat dihati.

Memasuki angka 2010, merupakan ‘crucial time’ buat saya memandangkan usia pengajian yang menjengah ke umur maksimanya. Jika tidak berjaya menongkah masa dan ujian, maka saya akan pulang tidak berstatus seperti yang di inginkan, melainkan hanya helaian kertas kajian yang tidak diluluskan. Nauzubillahi minzalik.

Saya seperti biasa tidak tahu memasang azam dengan ‘complete checklist’ yang digantungkan di mana-mana bahagian bilik saya. Namun, saya tetap ada perkara yang saya sematkan untuk di selesaikan di dalam jangka yang di tetapkan.

‘Adik belajar betul-betul, semester ini pastikan kembali ke anugerah dekan! Amiin…’

Pesan emak sambil mendoakan. Saat itu saya dan adik sudah mahu pulang untuk mendaftar semester terbaru.

‘Emak doakan nahwan juga! Moga belajar semakin rajin.’

Pinta saya ibu mendoakan sama. Emak tersenyum.

‘Emak doakan semua anak emak, berjaya dunia akhirat.’

Jawab emak. Senyum yang terukir begitu membahagiakan.

‘Tak, kali ni emak kena doakan spesifik untuk anjang. Moga habis tulis thesisnya tu mak! Serabut dah adik tengok!’

Usik adik di sebelah selepas itu ketawa besar. Suka dia mengusik saya, tetapi doanya itu tulus saya amiin kan. Benar, itu antara sasaran saya untuk awal usia 2010.

Melihat rakan sekuliah yang sudahpun melakukan pembentangannya (yang kami gelarkan; viva) tahun lepas, masih juga belum selesai urusan pembukuan thesisnya membuatkan saya semakin gusar. Dan melihat rakan lain yang baru selesai pembentangannya tetapi mendengar ceritanya tentang lontaran komentar yang berbondong dari pemeriksa membuatkan saya semakin kecut perut. Kalau mampu diperiksa, mungkin sahaja sudah kebiruan segala isi perut kerana sejuk ketakutan.

Seorang adik bertanya lewat ym;

‘Kak, lebih banyak kita tahu (ilmu), lebih hebat kan?’

‘Adik, setiap kali kita mengetahui sesuatu yang mencambahkan ilmu, maka setiap kali itu pasti kita merasa amat lemah kerana masih banyak ilmuNya yang belum mampu dimiliki. Ia ibarat kita menghirup air laut; semakin menghirup semakin kita tertunduk sendu merendah diri memohon rahmat-Nya buat menghilang dahaga walau hanya setitis embun kasih-Nya’

‘Kak, una lepas spm tidak buat apa-apa pun. Belajar tidak, bekerja pun tidak. Sekarang una sudah 21. Kak bagaimana mahu ikhlaskan hati terima takdir ALLAH untuk kita?’

Soalnya lagi.

‘Maksud adik?’

Soal saya minta dipastikan apa sebenarnya yang bermain di benaknya.

‘Kak, kadang-kadang adik rasa tak berguna. Belajar tidak, bekerja pun tidak. Kalau kakak, antara bekerja dan belajar, yang mana akak pilih sekarang?’

Luahnya di akhiri lagi dengan sebuah soalan.

Kita tinggalkan tentang perbualan kami. Apa yang sebenarnya timbul di sini adalah keluh kesah, perihal kita membuat pilihan di dunia, takdir ALLAH, dan bagaimana kita mahu ikhlaskan hati kepada qada dan qadar-Nya. Bukan sahaja persoalan seputar menuntut ilmu, malah dari sekecil-kecil hal, seperti membuat keputusan membeli barang, sehinggalah sebesar-besar hal seperti perkahwinan dan pekerjaan, kesemuanya memerlukan keputusan, dan natijahnya telah Dia tentukan. Namun ketentuan-Nya itu juga berpaksi kepada usaha yang kita lakukan, bukannya datang bergolek.

Apa yang perlu difahami, bahawa dunia bukan apa yang kita ingini, tetapi satu jalan dalam kita menuju redha Tuhan.

“ … Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal  ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Al-Baqarah; 216

Telah DIA katakan bahawa, jika DIA berkehendaki, pasti terjadi. Namun, manusia di tuntut berusaha itu adalah sebagai pengabdian kepada-Nya yang maha pemurah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada kita.

Di atas ke semua itu, apa yang sebenarnya di lihat adalah bagaimana seorang hamba itu optimis dengan ALLAH swt. Keimanan kita tidak terbina hanya dengan pergerakan badan di dalam solat. Malah jika solat itu tidak dihayati, maka Rasulullah saw telah sendiri mengingatkan bahawa ia tidak lebih dari latihan pergerakan tanpa makna disisi-Nya.

‘Kak, kakak rasa cita-cita akak tercapai dengan mengambil bidang ni?’

Soal adik tadi. Saya di dunia di sebelah sini di hadapan laptop hanya tersenyum, bahagia sekali entah kenapa.

Di dalam dunia pengajian ini, jiwa saya hanya 20% meminati bidang ini, namun makna terbesar adalah bagaimana DIA membimbing saya memahami makna dunia, dan makna bahagia redha di dalam jalan ketentuan-Nya. Di dalam dunia ini saya menelan manis, menabur garam di tempat luka, berteriak kepada luluhnya rasa, kesemua itu saya lalui dalam mempelajari bahawa dunia itu haknya hanya di telapak tangan kita. Ya, di telapak tangan kita.Lalu itu sebab terkukuh kenapa saya bahagia untuk terus melayari pengajian ini.

‘Seorang arkitek/lanskap arkitek islam terpisah dengan seorang yang bukan islam di dalam pengajian ini adalah melalui keimanan kepada-Nya. Walau tiada keuntungan (dalam erti kata pulangan bayaran lumayan), namun, berbakti kepada manusia selepas Sang Pencipta itu tanggungjawab kita.’

Terngiang-ngiang kata-kata pensyarah saya.

Di antara asbab kecemerlangan umat Islam terdahulu adalah kerana keimanan yang mantap terhadap Islam. Teladan dan qudwah terlalu banyak di lembar sirah. Terkadang dalam melangkah mungkin kita rebah, sesekali perlu kita singkap tabir ibrah perjuangan terdahulu untuk menghirup manisnya erti tabah. Kekuatan muslim bukan terletak di atas kelemahan musuh, tetapi terletak di dalam keindahan iman dan keizzahan Islam itu sendiri.

Lalu bagaimana kita mahu mengungguli medan pertempuran kita? Walau mungkin tiada alatan pedang dan peralatan perang yang lain, namun hawa nafsu dan bisikan syaitan itu jauh lebih licik dari musuh luaran kita, dan itulah pertempuran kita.

Jika semasa menongkah deras arus, kita harus melawan hawa nafsu yang meluluhkan semangat juang, dan syaitan yang mungkin sahaja cuba membisikkan was-was dalam usahanya mencabar keyakinan kita. Dan jika setelah arus di lepasi, samada sampai di pulau yang di inginkan, ataupun bukan pilihan, bagaimana nafsu dan bisikan syaitan itu bermain di dalam diri dan fikiran kita?

Jika kita berjaya mendapati sesuatu yang kita inginkan, maka syukur Alhamdulillah kita melepasi segala musuh di dalam peperangan dan kita pasti berpuas hati.

Jika kita berjaya menongkah badai namun keputusannya bukan seperti yang kita inginkan, bermakna kita Berjaya menentang musuh di dalam peperangan, namun bagaimana pula kita mahu berhadapan dengan emosi dan perasaan kecewa dengan natijah yang tidak di inginkan?

Gelombang emosi itu badai perasaan yang fitrah, ia antara bukti ketidaksempurnaan makhluk yang hanya meminjam hanya sedikit dari anugerah dan nikmat-Nya, ALLAH yang terhindar dari ketidaksempurnaan, yang maha memiliki dan DIA lah yang maha sempurna. Lalu apa yang penting adalah bagaimana kita mengarahkan setiap emosi dan rasa itu dalam mendekati cinta-Nya dan destinasi terakhir kehidupan kita, darul akhirat.

Keikhlasan dalam menerima qada’ dan qadar ALLAH itu pasti timbul apabila kita mempunyai ilmu dalam memahami erti kehidupan kita. Ilmu tentang tatacara mengemudi bahtera ini, dan bagaimana cara membaca peta kehidupan supaya bahtera kelak dapat berlabuh di negeri abadi dengan baik. Ilmu yang baik dalam memahami sedari awal tentang cuaca dan keadaan alam yang bakal di tempuhi membuatkan kita sentiasa bersiap sedia.

Seharusnya apa sahaja yang kita lakukan, yang kita pilih untuk lakukan, perlulah bersebab, dan sebabnya itu tentu sekali dalam mencari redha ALLAH. Hatta dalam hal membuang air itu sendiri itu, ada sebabnya dan ada tertibnya. Bahkan, ALLAH Yang menciptakan sesuatu itu tidak sia-sia, mengikut tempatnya dan sebabnya (fungsinya).

Al Imam Al-Ghazali rahimahullah berkata;

‘Barangsiapa yang mengaku empat perkara tanpa disertai empat perkara yang lain, maka dia adalah pendusta. Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, dia adalah pendusta. Barangsiapa mengaku cintakan Nabi Muhammad saw tetapi tidak cinta kepada ulama dan fakir miskin, dia adalah seorang pendusta. Barangsiapa mengaku takutkan neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, dia adalah pendusta. Dan barangsiapa mengaku cinta ALLAH tetapi keluh kesah dengan ujian-Nya, maka dia adalah pendusta.’

Menjadi pendusta pasti bukan kehendak kita semua. Justeru harus kita berusaha untuk menjadi pengabdi cinta-Nya. Bukan kita perlu menjadi hipokrit dengan tidak menjadi siapa diri kita yang sebenarnya, tetapi kita juga tidak seharusnya menjadi pendusta sementalah kita berjanjikan ketaatan kepada-Nya. Jadilah apa yang DIA mahukan kita menjadi, sebaik-baik makhluk ciptaan-Nya. Bukan menjadi diri sendiri yang menginginkan mengikut apa yang kita sukai, tetapi jauh dari syariat-Nya. Dengan itu, pasti kelak, apa sahaja yang DIA aturkan buat diri kita, pasti sahaja kita bahagia menerimanya. Sebagaimana kita merasa bahagia berdiri di atas syariat-Nya, bahagia didalam pandangan mata manusia yang jijik melihat kita kerana kita sentiasa menjunjung arahan-Nya. Kerana DIA lah pemilik diri kita. Lalu, dunia ini bukan sesuatu yang bias meruntun hatimu menjadi orang yang kesedihan meratap nasibnya, tetapi dunia itu meruntun hatimu gembira dan bersyukur kerana menjadi pengejar cinta-Nya.

Biar bertatih, tidak berhenti
Biar letih, tetap tidakkan lari
Biar lewat, namun jangan akhirnya terlambat
Dan biar sedikit, tapi istiqamah berpanjangan
Bergeraklah terus, kerana DIA sentiasa mengiringi.

Dunia tidak menjadi sesuatu perkara yang melesukan, tetapi kekuatan menuju yang abadi. Kerana, dunia itu hanya di telapak tanganmu. Dan akhirat itu di hatimu!

.

p/s [nahwanNur]: La taqlaqi wala tahzani, innaALLAHa ma’aki, wakafa billahi wakiila :)

~ by nahwanNur on January 25, 2010.

One Response to “Ia hanya ditelapak tanganmu!”

  1. Selamat berjuang hingga sampai ke matlamat my dear friend :)

Leave a Reply




Powered by WP Hashcash