Sewaktu pilot mahu menerbangkan badan kapal terbang boeing itu, saya melihat dari celah tingkap, berkebetulan sayap pesawat betul-betul di hadapan saya. Saya melihat ada satu bahagian kipas terbuka, sepertinya kuat menahan pukulan angin, mungkin juga itu kaedah meringankan jisim kapal terbang menyamai jisim udara, untuk membolehkan badan kapal terbang itu terapung di udara. Wallahu’alam. Cuma saat itu saya yang cuba membebaskan fikiran sebentar dari cabaran pengajian di universiti, sama berat memikirkan signifikan, cuba mengaitkan tarbiyyah dari ALLAH melalui sistem penerbangan pesawat tersebut.
Saya terfikir, untuk membolehkan saya terbang ke langit impian, tentu sekali seberat itu juga angin ujian yang pasti saya perlu hadapi. Lalu mungkin sahaja, saya perlu belajar sebagaimana sebuah kapal terbang perlu membuka kipas sebagai kekuatannya melawan angin untuk membolehkannya terbang di udara. Saya perlu membuka satu sayap kekuatan, sebagai tambahan paradigma saya sebelum ini. Termasuk hari saya menulis entri ini, ia sudah malam ke tiga saya berjaga tak kena masanya, tidak seperti selalu. Ia kerana saya diserang demam, dan inilah kali pertama dalam tiga tahun ini saya mengambil ubat-ubatan di klinik.
Saya tergolong dari golongan yang tidak sukakan ubatan. Bukanlah saya suka mengalah kepada kesakitan, tetapi saya lebih suka kepada rawatan alternatif. Namun, kali ini sememangnya sudah kurang daya tahan, dan atas nasihat sahabat sepengajian saya pergi lawati klinik universiti. Keputusannya, maka satu beg plastik ubatan yang dibekalkan. Melihatnya sahaja meresahkan saya. Sebelum mengambil ubat, perlu makan dahulu. Selepas itu baru ambil ubatan ikut yang di aturkan. Alergiknya jika saya ambil ubatan ini, hasilnya pasti menjemput kantuk. Bila sudah diserang kantuk kerana ubat, maka ‘ubat’nya adalah tidur. Asal makan ubat sahaja mengantuk, asal mengantuk sahaja tidur. Maka itulah aktiviti saya 2 hari ini.
Saya teringat risalah khas buat pesakit tulisan Bediuzzaman Said Nursi dan juga yang terbaru ada di tulis oleh KH Gymnastiar (Aa Gym) yang mengatakan;
Sesungguhnya derita sakitmu itu bukanlah sebuah penyakit, tetapi justeru itu sebuah ubat.
Malah mengikut Said Nursi, sakit ini juga sebuah ibadah;
Ibadah pasif (salbiah) di mana penderita sakit di dalamnya bersimpuh menyerahkan diri kepada Sang Pencipta yang Maha Penyayang sembari mohon perlindungan dan bersujud padanya. Kondisi yang bersumber dari perasaan ketidakberdayaannya dihadapan penyakit dan musibah tersebut, sehingga ia mendapatkan ibadah ma`nawiah yang suci bersih dari segala bentuk riya.
ALLAHu ALLAH.
Bukankah ALLAH itu maha adil lagi maha mengetahui. Dan termasuk hari rabu minggu ini, sudah hampir sebulan saya tidak menghadiri usrah. Sebenarnya perancangan rabu minggu ini untuk ke shah alam, tetapi dek kerana tidak berupaya kerana keadaan kesihatan tidak membenarkan, maka saya terpaksa membatalkan. Malah usrah juga saya tertinggal lagi. Sudahlah dua minggu dahulu di tinggalkan juga kerana mengembara.
Sebenarnya, saya juga amat sedih, malah amat malu. Kerana saya juga lemah, lemah kerana takutkan pandangan sahabat usrah kepada saya. Saya tidak berburuk sangka, tapi saya jadi malu sendiri.
Seminggu lalu, saat di perantauan bersama keluarga, saya bersembang dengan ibu di kediaman saudara, kebetulan di sana saya turut diserang demam panas selama dua hari, kasihan emak terpaksa berjaga malam bersama. Saat malam itu sekitar jam 2 pagi waktu sana, bermakna sekitar jam 3 pagi waktu Malaysia, saya sempat bersembang pendek dengan emak. Jawaban emak kepada setiap keluh kesah saya selalu menenangkan. Selalu sahaja saya menjadi serba salah, antara aktiviti gerakan, tuntutan pengajian, keperluan keluarga dan walimah sahabat yang kini sudah beratur menunggu giliran. Kesemua ini penting kepada saya. HabluminALLAH wa hablumminanasr. Sungguh, jika saya di beri kekuatan seperti sahabat lain yang kuat, pasti saya mahu hadiri kesemuanya. Namun, semenjak dahulu, saya tahu satu kelemahan nyata saya adalah, saya tidak mampu melakukan banyak perkara di dalam satu masa. Dan sebulan yang lalu, saat bermesyuarat dengan supervisor, beliau menasihatkan; ‘
Nahwan, awak hanya perlukan 2 hingga 3 bulan ini untuk fokus 200%, saya harap awak tidak memberatkan perkara lain. Biarlah awak penat 2-3 bulan ni, awak bagi semaksima mungkin, lepas habis tu awak bebas.’
Saya hanya mengangguk. Sehingga kini, saya masih belum punya jawapan untuk itu. Namun saya tahu, dek kerana masa yang membataskan, juga kerana kekangan kewangan, saya perlu habiskan pengajian ini. Namun, saya tidak menekan diri untuk memahami takdir itu mengikuti perancangan saya, kerana saya tahu, natijah itu tetap mutlak milik ALLAH swt. Malah dia pasti tahu yang terbaik untuk saya. Dan di dalam segala ‘cabaran’ ini, Dia hadiahkan saya dengan pelbagai perkara yang menyiram kekalutan hati saya
.
Dia berikan saya peluang bertemu ulama’ dengan mutiara beliau yang mampu menjadi bekal untuk diri saya.
Dia berikan saya senyuman pensyarah yang tenang di dalam ketegasannya, sarat dengan sokongan.
Dia berikan saya rangkulan ukhuwah yang di ikat kefahaman akan kondisi kehidupan saya kini.
Dia berikan saya genggaman erat rakan seperjuangan yang turut sama berkampung di kuliyyah dalam menyiapkan thesis kami.
Dan Dia merangkul erat saya saat saya senang mahupun saat saya merasakan cabaran ini suatu bebanan, lalu Dia belai manja sehingga saya merasa sangat malu dan kembali bersemangat
.
Malah, Dia menitipkan saya nasihat baginda Rasulullah saw saat saya membelek buku catatan saya. Dimana baginda Rasulullah saw bersabda;
Kosongkanlah dirimu dari beban pikiran dunia semampumu~
.
Beberapa orang sahabat bertanya tentang azam kepada saya semenjak hadirnya Hijri 1431 tempohari dan disambung dengan kehadiran masihi 2010 akan datang ini. Saya tidak tahu, cuma saya sentiasa berdoa akan satu perkara ini;
Semoga umur yang diperpanjangkan ini peroleh barakah; terpenuh dengan amal soleh.
Amiin ya Rabbal ‘alamin.
.
TERBANG DIIRINGI
Wahai diri
terbang kau tinggi
membelah lelangit
menjejak awan
Kamu
bukan sendiri
terbang mu seizin
pemilik sayap diri
Duhai diri
sayap mu bukan lemah
walau bisa patah
laluan mu itu amanah
lalu terbanglah dengan tabah
Duhai diri
langit dan awan menanti
terokamu mencari erti diri
terbanglah dengan tenang
kerana DIA ada mengiringi
.
Rabbi yassir ya kareem~
















